Labels

Thursday 21 July 2011

Penuntut Gesa Letak Jawatan

Alor Setar - Enam penuntut Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang dikekalkan hukuman gantung pengajian antara satu hingga dua semester oleh Jawatankuasa Tatatertib institusi itu pada 6 Jun lalu menggesa rektor Kuin, Prof. Dato' Wira Dr. Jamil Bin Osman meletak jawatan kerana gagal menangani dan memberi ruang kebebasan bersuara kepada aktiviti mahasiswa.


 Bekas Pengerusi Biro Penerangan dan Informasi Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Kuin Mohd Aiman Abd Razab berkata, gesaan itu dibuat susulan Dr. Jamil dilihat menggunakan pendekatan pentadbiran diktator dalam menguruskan Kuin dan cuba mengongkong hak mahasiswa untuk memberi teguran kepada pentabiran institusi itu.


Menurutnya, Dr. Jamil dan pengurusan Kuin seharusnya mencontohi pendekatan Kementerian Pengajian Tinggi yang tidak terburu-buru mengambil tindakan tatertib terhadap sembilan mahasiswa yang tertangkap di kompleks membeli belah Sogo, Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu kerana menyertai perhimpunan Bersih 2.0.


Saya kagum dengan sikap kementerian yang terbuka mendengar penjelasan mahasiswa terbabit sebelum melaksanakan tindakan tatertib dan perkara ini tidak pernah berlaku di Kuin.


"Saya bimbang tindakan mengongkong kebebasan bersuara mahasiswa Kuin akan menyebabkan institusi itu melahirkan graduan pengecut dan hanya bersikap 'Yess Boss' yang sudah pasti  tidak memberi sebarang kebaikan kepada negara," katanya pada sidang media disini kelmarin.


Turut hadir bekas Presiden,  MPM Kuin, Mohd Faiz Bin Mohd Arshad dan bekas Naib Presiden, Mohd Azlan Bin Mat Zain yang turut dikekalkan tindakan gantung pengajian dua semester oleh Jawatankuasa Tatatertib institusi itu.


Sementara itu, Mohd Faiz menegaskan penuntut kuin tiada masalah dengan peraturan sekatan hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Acara Tatatertib Universiti 2007, bagaimanapun sekatan itu tidak boleh terlalu ketat sehingga teguran terhadap tindak tanduk pengurusan institusi tidak dibenarkan.


Menurutnya, peraturan dan undang-undang yang diamalkan Kuin  di bawah Dr Jamil tiada bezanya dengan akta undang-undang Kolej dan Universiti (AUKU) yang dikritik banyak pihak kerana terlalu mengonkong kebebasan mahasiswa berpolitik.


Saya juga menggesa pengurusan kuin mengkaji semula pelaksanaan undang-undang dalam buku Acara Tatatertib Universiti 2007 kerana tidak jelas dan terlalu umum", katanya.


Ditanya sama ada kesemua penuntut terbababit tidak bimbang mengkritik pengurusan Kuin secara terbuka akan mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua pihak, Mohd Faiz menegaskan pihaknya bersedia apa jua tindakan susulan daripada pengurusan universiti.


Sebelum ini kami berdiam diri dan menhormati arahan Jawatankuasa Tatatertib untuk tidak melakukan kenyataan media bagi membolehkan rayuan kami diberi pertimbangan sewajarnya.


Namun, setelah keputusan rayuan kami ditolak, kami anggap pengurusan Kuin sengaja memulakan perang dan tindakan undang-undang akan diambil segera demi keadilan semua pihak, katanya


Sumber : Sinar Harian, 21 Julai 2011

0 comments:

Post a Comment