Labels

Monday 25 June 2012

JANGAN JADIKAN PELAJAR SEBAGAI MANGSA KRISIS DALAMAN KUIN


Gerakan Mahasiswa Prihatin amat kesal dengan tindakan Rektor KUIN yang terus menaikkan yuran dan langsung tidak mengendahkan pandangan dan pendapat orang lain. Kenaikan pelbagai yuran kepada pelajar adalah suatu penindasan kerana menjadikan pelajar sebagai mangsa kepada krisis kewangan dan dalaman KUIN.

Walaupun pelajar tidak boleh masuk campur dalam urusan pentadbiran namun pelajar juga perlu bersuara jika tempias krisis ini terpalit kepada pelajar. Krisis kewangan yang ada kaitannya dengan pengurusan kewangan anak – anak syarikat KUIN seperti Insan Holding dan Insan Medik adalah antara punca kemelut dalaman KUIN .

Berikutan krisis tersebut beberapa tindakan menjadikan pelajar sebagai mangsa seperti berikut :
1.       Menaikkan yuran dari RM60 hingga RM200 per/jam kredit
2.   Mengenakan caj RM25 kepada pemohon baru yang ingin menyemak status permohonan kemasukan ke KUIN, sedangkan IPT lain hanya mengenakan caj kepada permohonan masuk sahaja bukan semakan permohonan
3.    Mewajibkan pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh pelajar baru di Insan Medic dan caj dikenakan sangat melampau dari RM150 sehingga RM250, sedangkan pelajar boleh melakukan di klinik luar dengan hanya caj RM 20 hingga RM 50 sahaja.
4.    Terbaru , ura-ura kemungkinan yuran penginapan pelajar pun akan dinaikkan kepada RM675 per/semester sedangkan sebelum ini hanya RM350. Selalunya kenaikan yuran tidak membawa perubahan yang banyak kepada kemudahan pelajar di asrama.

PRIHATIN membantah sekeras-kerasnya semua tindakan kenaikan yuran yang amat mendadak. Sebelum ini pun yuran pentadbiran dan asrama dinaikkan kepada pelajar lama , namun apabila kita membantah , pentadbiran memberi alasan kenaikan adalah bertujuan untuk meningkatkan kemudahan pengajian dan penginapan kepada pelajar. Itu hanyalah sekadar retorik, kemudahan yang ditunggu tidak seperti dijanjikan sehingga mencetuskan demonstrasi bantahan pelajar yang dianjurkan PRIHATIN sendiri.

Sehubungan itu PRIHATIN mendesak agar Dato’ Jamil Osman , Rektor KUIN lebih bertanggungjawab dengan semua krisis yang ada dan membuat semakan semula semua kenaikan yuran yang bakal dikenakan kepada pelajar baru dan lama. Jika Rektor KUIN terus memperlekeh suara PRIHATIN, maka tidak mustahil PRIHATIN  akan mencetuskan satu lagi siri demonstrasi yang lebih dasyat berikutan masalah kebajikan turut menular di kalangan staf KUIN.

Mahasiswa KUIN semakin matang dan berani, apatah lagi selepas 5 pelajar yang digantung KUIN tahun lalu menang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam mencabar keputusan jawatankuasa tatatertib KUIN.

Sehubungan itu Rektor perlu bertanggungjawab dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan krisis kewangan KUIN dengan bukan hanya melihat pelajar sebagai sasaran. Oleh itu jangan biarkan ‘jerung kenyang dan terlepas’ berlaku di dalam KUIN. Anak-anak syarikat KUIN sebenarnya yang perlu menjana kewangan bagi membantu KUIN , selain KUIN perlu meneroka bidang perniagaan yang lebih global di peringkat antarabangsa.

PRIHATIN adalah merupakan pertubuhan pelajar yang prihatin dalam membela  agar kebajikan pelajar KUIN diberikan keutamaan.

Mohd Mus'ab Bin Habib

Jurucakap GERAKAN MAHASISWA PRIHATIN KUIN