Dan Selamat Sejahtera,
Mahasiswa/wi Kuin sekalian.
Susulan daripada kenyataan Timbalan Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah beberapa hari yang lepas, dengan tajuk ulasannya “ KPT Memandang Serius Penggangtungan Presiden MPMKUIN” yang dipetik dalam akhbar sinar harian pada jumaat lalu (12/08/2011), Saudara Mohd Faiz Arshad semalam dipanggil pihak pentadbiran yang diketuai Prof. Zakaria Bin Man, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, diiringi empat kakitangan yang lain iaitu Ustaz Abd Ghani Shamsuddin, Prof. Dr Wan Sulaiman Wan Yusoff, Dr. Fauzi, Mohd Firdaus Salleh, untuk mengadakan perbincangan tertutup mengenai hukuman yang dikenakan keatas beliau iaitu gantung pengajian selama 2 semester, dilucut jawatan sebagai presiden MPM serta-merta, dilarang memasuki dan menggunakan premis kuin, tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana organisasi persatuan dan kelab di Kuin.
Dalam perjumpaan tersebut pihak pentadbiran mencadangkan supaya hukuman gantung dua semester dikurangkan kepada satu semester sekiranya dipersetujui oleh beliau (Mohd Faiz Arshad) dan hukuman tersebut akan menyamai hukuman yang dikenakan kepada 4 okt yang lain. Menurut sumber yang diporelehi, pengurangan hukuman tersebut bertujuan untuk tidak memperbesarkan isu. Namun beliau meminta tempoh masa selama dua hari untuk mempertimbangkan cadangan pihak pentadbiran tersebut.
Apa yang ingin dipersoalkan disini adalah kenapa dalam perjumpaan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), Skuad Mahasiswa Prihatin (PRIHATIN), bersama pihak pentadbiran yang lepas bagi membincangkan 4 tuntutan PRIHATIN iaitu (menuntut hukuman keatas 6 mahasiswa digugurkan, menuntut hak bersuara mahasiswa, prihatin dan menyelesaikan kebajikan pelajar, kembalikan diploma tahfiz kepada pengurusan Kuin), pihak pentadbiran terlalu mengiakan untuk mengekalkan hukuman keatas 6 mahasiswa tersebut walaupun dituntut untuk hukuman tersebut digugurkan. Hukuman tersebut dikekalkan atas alasan sebagai pengajaran kepada mahasiswa terbabit atas tindakan mereka yang seolah-olah memfitnah pihak pengurusan kolej. Ini jelas menunjukkan bahawa pihak pentadbiran sedar dan mengakui tindakan mereka sebenarnya salah. Sekiranya mereka (pentadbiran) dipihak yang benar, mengapakah perlu dikurangkan hukuman tersebut sekarang? Dimanakah pendirian mereka untuk mengekalkan hukuman tersebut sebelum ini?. Mengapa hukuman ini tidak dikurangkan selepas melalui proses rayuan? Dan kenapa sekarang baru mahu dikurangkan? Kita sudah buka ruang untuk berbincang sebelum ini, hakikatnya kita amat kecewa dengan keputusan mengekalkan hukuman keatas 6 mahasiswa terbabit.
Apa yang kita mahu dan menuntut sebenarnya bukan dikurangkan hukuman, tetapi kita menuntut supaya hukuman tersebut digugurkan, bukan untuk saudara Mohd Faiz Arshad sahaja, bahkan kepada semua 6 mahasiswa termasuk beliau yang dikenakan hukuman tatatertib tersebut. InsyaAllah MPM bersama Skuad PRIHATIN akan terus mendesak pihak pentadbiran supaya hukuman keatas 6 mahasiswa digugurkan bukannya dikurangkan, kita akan bersama-sama 6 mahasiswa tersebut dalam menuntut hak dan pembelaan keatas diri mereka sekiranya hukuman tersebut masih tidak digugurkan. Kita menyarankan kepada 6 mahasiswa supaya jangan mudah termakan dengan cadangan pihak pentadbiran untuk mengurangkan hukuman, kita akan bersetuju sekiranya pihak pentadbiran menggugurkan hukuman tersebut. Ingatlah sahabat-sahabat seperjuangan, yakinlah bahawa kebenaran itu akan tertegak, dan kebenaran itu sekarang semakin menghampiri kita.
Wallahua’lam.
Mohd Firdaus Bin Bakar,
Timbalan Presiden 2,
Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Unviersiti Insaniah.
0 comments:
Post a Comment